Pengkhianat parti tak layak ramal pemimpin keluar PKR

Iklan
Kalaimughilan

IPOH - Bekas pemimpin yang mengkhianati Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak layak mengulas dan meramalkan pemimpin yang akan keluar parti.

Timbalan Ketua PKR Cabang Tambun, A Kalaimughilan berkata, pemimpin yang bertanding pada pemilihan parti ini merupakan mereka berjiwa besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sama ada Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, kedua-kedua mereka tidak mungkin meninggalkan parti.

"Rafizi bukan seperti bekas pemimpin PKR lain yang meninggalkan parti. Begitu juga Nurul Izzah. Pendirian dua pemimpin ini jelas bahawa yang mana tidak terpilih, mereka tidak akan keluar parti.

Iklan

"Sebaliknya mereka akan meneruskan perjuangan dan perkhidmatan mereka bersama PKR. Pengkhianat parti tidak ada hak untuk komen tentang pemimpin kami," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan bekas pemimpin PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin membayangkan nasib Rafizi akan berakhir seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akhirnya keluar parti.

Iklan

Beliau turut berpendapat segala usaha dan jasa Rafizi pasti tidak akan lagi dikenang kerana terlalu lantang dalam menyuarakan pendapat sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan ahli dan pimpinan parti.

Dalam perkembangan lain, Kalaimughilan menyambut baik cadangan Rafizi agar satu tempoh tertentu diberikan kepada ahli atau pemimpin sebelum dibenarkan bertanding.

Menurut calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu, langkah tersebut wajar sebagai membuktikan kemampuan dan perkhidmatan kepada masyarakat atau pengundi.