SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berusaha menunaikan impian kanak-kanak kurang bernasib baik melalui kempen 'Kami Bawa Senyuman Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak'.
Kempen selama 45 hari bermula 15 Mei lalu itu dijalankan dengan kerjasama syarikat barangan pengguna terkenal, Procter & Gamble (P&G) dan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif dilaksanakan itu cukup dekat di hati bagi merealisasikan hasrat anak kurang bernasib baik.
"Selama 18 tahun Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia ini tunaikan impian kanak-kanak, kadang (mereka) cuma nak ke zoo, nak jadi bomba atau Batman untuk sehari.
Ameer memberitahu, setiap pembelian barangan P&G bernilai RM10 ke atas di Mydin, pelanggan sudah menyumbang 10 sen ke arah mencapai sasaran RM100,000 dalam tempoh 45 hari.
Tambah beliau, meskipun Mydin telah lama bekerjasama dengan P&G dalam pelbagai kempen, namun inisiatif untuk memenuhi impian peribadi kanak-kanak merupakan sesuatu yang disifatkannya sebagai amat dekat di hati.
"Ramai fikir 10 sen ini nilainya kecil, tapi kalau cukup ramai beri, Insya-ALLAH boleh capai dan saya anggap inisiatif korporat ini amat menyentuh hati," jelas beliau.
Ameer juga turut berkongsi pengalaman peribadi beliau sebagai datuk menjadikan isu kanak-kanak lebih dekat di hatinya.
"Bila dah ada cucu, tengok kanak-kanak kurang bernasib baik kita jadi sebak. Kita rasa nak buat sesuatu, namun tidak semua orang ada rezeki sama.
"Kadang-kadang impian kecil pun cukup untuk mengubah dunia seorang anak kerana mereka tak minta banyak, cuma nak rasa dihargai.” jelas beliau.
Sementara itu, Pengurus Besar P&G Malaysia dan Singapura, Nantha Kumaran Kalimuthu menyuarakan keyakinan terhadap sambutan pelanggan Mydin dalam menjayakan kempen berkenaan.
Beliau memberitahu, setakat ini sambutan pelanggan Mydin menggalakkan dalam usaha menyasarkan kutipan sebanyak RM100,000.
"Minimum kami mahu kumpul RM50,000 dalam kempen ini, tetapi kami letakkan sasaran lebih tinggi iaitu RM100,000,” katanya.
Menurut beliau, P&G menawarkan kira-kira 16 jenama produk pelbagai kategori yang dijual di Mydin termasuklah pencuci pakaian, syampu, pewangi dan produk penjagaan diri seperti Gillette dan Downy.
"Pelbagai produk P&G digunakan pelanggan harian dan kita harap sambil membeli barangan keperluan, mereka turut menyumbang kepada impian kanak-kanak yang kurang bernasib baik,” katanya.