Selangor arah peniaga turunkan iklan vape, tindakan tegas jika degil

Iklan
Ng Suee Lim

KLANG - Kerajaan negeri Selangor mengarahkan semua peniaga menurunkan papan tanda iklan dan promosi berkaitan produk rokok elektronik (vape) dengan segera sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan notis kepada peniaga vape untuk menurunkan iklan secara sukarela.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya peniaga gagal berbuat demikian, tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuk denda serta pengeluaran saman.

"Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dan memang ada persetujuan untuk beberapa tindakan termasuk tidak mahu menggalakkan masyarakat terjebak dengan vape.

Iklan

"Pihak PBT tidak pernah mengeluarkan lesen untuk iklan sebegini, mereka beroperasi secara tanpa izin dan memaparkan iklan sendiri. Kita telah arahkan semua iklan untuk diturunkan.

"Di Klang sahaja, kita sudah kenal pasti 45 papan tanda iklan vape dan jika di seluruh 12 PBT, mungkin ada ratusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan rasmi di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.

Sebelum ini, kerajaan Selangor telah mengarahkan semua PBT menyita dan merampas sebarang bentuk iklan produk vape di negeri ini.

Langkah itu diputuskan dalam satu mesyuarat penyelarasan baru-baru ini yang dipengerusikan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan generasi muda.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, arahan berkenaan dibuat bagi mengawal dan mengurangkan promosi mengenai produk tersebut walaupun keputusan pengharaman penjualan vape masih belum dimuktamadkan.

"Kita masih dalam kajian untuk membuat satu keputusan tetapi pada peringkat awal, kita kurangkan dahulu sebaran iaitu dengan menurunkan iklan-iklan ini.

"Saya tidak nafikan bahawa orang tetap akan mencari tempat jualan produk ini walaupun tiada papan tanda iklan kerana sekarang zaman teknologi maklumat dan orang yang membeli sudah tahu tempatnya.

"Sekarang vape umpama sudah jadi fenomena. Bukan lelaki sahaja yang suka (vape), perempuan pun sama juga,” ujarnya.