Zulkarnain tuntut saman RM1.5 juta terhadap dua individu

Iklan
Zulkarnain

KOTA KINABALU – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, telah memfailkan tuntutan saman sebanyak RM1.5 juta dan menuntut permohonan maaf daripada dua individu yang didakwa memfitnah serta mengaibkannya di media sosial.

Zulkarnain berkata, surat tuntutan saman tersebut telah dihantar melalui pos berdaftar pada Khamis kepada penggerak demonstrasi kecil, Muhammad Fadhil Muhamad Kasim, dan seorang tentera siber politik, Tandiko Dalusin.

Iklan
Iklan

"Surat tuntutan juga akan diserahkan secara bersemuka ke alamat kedua-dua individu melalui wakil peguam, selain hebahan melalui portal berita,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, writ saman telah disediakan oleh pasukan peguamnya yang diketuai sebuah firma guaman.

Iklan

"Tuntutan terhadap Muhammad Fadhil dibuat susulan kenyataan fitnah yang dimuat naik melalui Facebook, termasuk frasa ‘Zulkarnain Mahdar Orang Tua Bodoh Memilih Untuk Kekacauan’.

"Saman kedua dikemukakan terhadap Tandiko Dalusin selepas dia menerbitkan kenyataan fitnah di Facebook, TikTok dan YouTube, menggunakan perkataan ‘Zulkarnain syaitan, orang tua bodoh dan palui’,” katanya.

Iklan

Zulkarnain menyifatkan jumlah saman RM1.5 juta itu sebagai wajar dan bertujuan memberi pengajaran agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah atau mengaibkan individu lain walaupun berbeza pandangan.