Heung-min akhirnya julang trofi

Iklan
Son Heung-min menjulang trofi Liga Europa selepas Tottenham tewaskan Manchester United 1-0 pada aksi final awal pagi Khamis. Foto Agensi

KAPTEN Tottenham Hotspur, Son Heung-min akhirnya menamatkan penantian satu dekad untuk merangkul trofi pertamanya bersama kelab itu selepas membantu Spurs menewaskan Manchester United 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Europa di Stadium San Mamés, awal pagi Khamis.

Penyerang antarabangsa Korea Selatan itu menyifatkan detik bersejarah tersebut sebagai impian yang menjadi kenyataan dan mengakui dirinya sebagai"lelaki paling bahagia di dunia” selepas wisel penamat ditiup.

Iklan
Iklan

"Hari ini adalah hari impian saya menjadi nyata,” katanya kepada TNT Sports.

"Saya sangat gembira. Secara jujurnya, saya lelaki paling bahagia di dunia. Perasaan ini sungguh luar biasa.”

Iklan

Heung-min, 32, merupakan satu-satunya pemain yang masih kekal daripada skuad Spurs yang tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2019.

Selepas bertahun-tahun melalui kekecewaan di pentas utama, beliau mengakui tekanan untuk menang sangat dirasai menjelang perlawanan ini.

Iklan

"Saya terlalu mahukan kemenangan ini. Dalam tujuh hari terakhir, saya bermimpi tentang perlawanan ini setiap malam. Akhirnya ia benar-benar berlaku.

"Kini saya boleh berehat dengan tenang,” katanya sambil berseloroh bahawa beliau mungkin akan terlepas penerbangan pulang kerana mahu meraikan kejayaan bersama pasukan.

Kejayaan ini turut memastikan tempat Tottenham dalam saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, meskipun pasukan itu mengalami kempen domestik yang suram apabila menamatkan musim di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris.

Dalam pada itu, Heung-min turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong-penyokong di Korea Selatan yang sanggup berjaga sehingga awal pagi untuk menyaksikan kejayaannya.

"Saya sangat bangga menjadi rakyat Korea. Terima kasih kepada semua peminat di Korea. Perlawanan bermula jam 4 pagi di sana, tetapi mereka tetap menyokong saya tanpa henti. Saya amat menghargainya,” katanya penuh emosi.