Pemandu pacuan empat roda dikhuatiri lemas

Iklan
Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbalik akibat arus deras ketika cuba menyeberang Sungai Tendrik, Gua Musang - Gambar hiasan

GUA MUSANG - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya gagal melepas arus deras ketika cuba menyeberang Sungai Tendrik, Pos Bihai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Iklan
Iklan

"Ya, saya sahkan ada menerima laporan kejadian itu namun polis masih lagi menyiasat," katanya.

Seorang lagi pemandu pacuan empat roda, Maszlan Mohamad, 53, berkata, dia dimaklumkan mengenai insiden itu oleh dua penumpang kenderaan terbabit yang sempat menyelamatkan diri.

Iklan

"Mereka tiba di sungai itu pada 5.30 petang ketika hujan lebat namun pemandu berkenaan tetap nekad meneruskan perjalanan pada 8.30 malam semalam walaupun arus masih deras kerana bimbang lewat tiba di rumah kongsi di Kampung Pahong, Pos Bihai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, seorang daripada penumpang yang terselamat mengalami kecederaan kaki ketika berusaha menyelamatkan diri dengan memecahkan tingkap dan berenang ke tebing.

Iklan

Maszlan berkata, dia turut ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan tersebut berada di dalam sungai namun pemandunya tidak kelihatan. - Bernama