Pegawai JPJ maut gagal elak lori ais terbalik

Iklan
Seorang pegawai JPJ Temerloh maut selepas motosikal ditunggangi melanggar lori ais terbalik di Jalan KL-Kuantan pada petang Rabu. - Foto: PDRM

TEMERLOH – Seorang pegawai Unit Pendakwaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temerloh maut selepas motosikal yang ditungganginya tidak sempat mengelak sebuah lori ais yang terbalik di tengah jalan di Kilometer 137 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan di sini petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.16 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Hino dan motosikal Yamaha 135LC.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa seorang wanita berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah Temerloh menuju ke Mentakab.

Iklan

"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori yang bergerak secara lurus dipercayai hilang kawalan lalu hampir terbabas ke kiri jalan dan cuba mengelak daripada melanggar besi penghadang jalan menyebabkan ia terbalik di tengah jalan.

"Pada masa yang sama, motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah lori yang terbalik itu,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Iklan

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 33 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.