Surah al-Saff tekankan penyelesaian masalah ekonomi global

Iklan
Sesi perkongsian bersama Nouman sempena Road To World #Quran Convention yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Pemilihan Surah al-Saff dalam World #QuranConvention tahun ini bukan sahaja menekankan perjuangan para nabi dalam aspek dakwah dan akidah, malah turut merangkumi penyelesaian terhadap isu ekonomi global.

Pengarah Bayyinah Institute yang juga penceramah utama program tersebut, Nouman Ali Khan berkata, melalui surah berkenaan, beliau ingin mengetengahkan komponen akademik dalam perjuangan para nabi yang sering kali terlepas pandang.

Iklan
Iklan

"Dalam beberapa bulan terakhir, saya telah banyak mengkaji al-Quran dari sudut ekonomi dan meneliti beberapa komponen perjuangan nabi melalui lensa akademik.

"Ia membuka banyak maklumat baharu seperti cara kita memahami sejarah, tindak balas kaum Quraisy serta penentangan terhadap Nabi Isa AS dan misinya yang kebanyakannya berpunca daripada isu kewangan,” katanya.

Iklan
Nouman Ali

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selesai menyampaikan perkongsiannya sempena Road To World #Quran Convention yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, penganjuran World #QuranConvention tahun ini membawa misi transformasi ekonomi yang diharap mampu menjadi penyelesaian kepada krisis ekonomi sedia ada.

"Kita berharap banyak idea dapat diketengahkan untuk memperkukuh ekonomi Islam berpandukan al-Quran. Kaedah penyelesaian bukan hanya bergantung kepada polisi di peringkat atasan sebaliknya bermula daripada tindakan individu seperti yang diperincikan dalam Surah Al-Saff,” katanya

Ujarnya, tahun ini surah al-Saff menjadi surah pilihan pada program utama WUIF iaitu World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention.

"Setiap program tersebut memberi fokus tema berlainan namun tetap berakar pada surah yang sama. Misalnya, Arafah #QuranHour akan menggabungkan Surah al-Saff dan Surah al-Hajj sempena musim haji manakala Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini akan menampilkan tema kemerdekaan.

"Fokus utama bagi World #QuranConvention kali ini adalah aspek tijarah dalam Surah al-Saff, iaitu perniagaan yang berpaksikan nilai-nilai keadilan dan integriti Islam.

"Dengan pelbagai isu ekonomi global yang sedang melanda, WUIF menyasarkan agar perbincangan ini dapat merangka model ekonomi alternatif yang berpandukan wahyu. Untuk itu, kerjasama turut digerakkan bersama Bayyinah Institute dan pakar ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),"katanya.

Tambahnya, seperti yang ditegaskan oleh Ustaz Nouman, al-Quran menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran termasuk sosial, psikologi dan ekonomi.

"Kalau ekonomi runtuh, rakyat akan semakin tertekan, dan masalah sosial pun akan meningkat. Maka kita kena lihat al-Quran sebagai solusi menyeluruh,” ujarnya dalam sesi tertutup bersama pasukan WUIF.

Orang ramai dijemput menyertai World #QuranConvention pada 13 Disember 2025 dengan mendaftar di https://ezy.la/WQC2025.