19 ditahan gaduh guna parang, rotan di restoran

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan di sebuah restoran. Foto tular media sosial

ISKANDAR PUTERI – Seramai 19 lelaki termasuk seorang remaja berusia 13 tahun ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan bersenjatakan parang dan rotan di sebuah restoran di Taman Mutiara Mas, Skudai, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam dan dilaporkan oleh seorang wanita tempatan berusia 20 tahun yang turut menjadi mangsa serangan.

Iklan
Iklan

"Ketika kejadian, mangsa berada di restoran tersebut bersama tiga rakan lelaki sebelum diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan rotan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan 19 suspek dalam satu operasi bermula jam 5 petang Sabtu hingga 4 petang Ahad,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, semua suspek yang berusia antara 13 hingga 46 tahun ditahan menerusi Ops Cantas, dan hasil semakan mendapati enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Ujian air kencing ke atas kesemua suspek juga didapati negatif daripada pengaruh dadah.

Iklan

"Kejadian dipercayai berpunca daripada dendam antara dua kumpulan. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan menyebabkan kecederaan parah.

Sebelum itu, tular satu video memaparkan beberapa lelaki bergaduh di sebuah restoran.