TUARAN - Seorang lelaki ditahan selepas didapati melakukan transaksi dan mengeluarkan wang milik ahli keluarganya dari bank tanpa kebenaran dalam kejadian di sini pada Jumaat lalu.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang susulan laporan yang dibuat oleh pengadu dalam kes tersebut.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berhubung kes transaksi kewangan tanpa kebenaran yang melibatkan dua individu keluarga terdekat.
"Siasatan mendapati suspek telah memindahkan wang sebanyak RM10,000 daripada akaun bank milik birasnya pada 20 November 2024 ke akaun bank milik ibunya tanpa pengetahuan atau kebenaran daripada kedua-dua pihak.
"Suspek kemudian telah mengeluarkan wang tersebut menggunakan kad bank ibunya yang berada dalam simpanannya tanpa sebarang keizinan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Noraidin berkata, suspek dituduh di bawah Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu.
"Suspek didakwa secara langsung atau tidak langsung tanpa kuasa yang sah menggunakan instrumen pembayaran atau akaun orang lain atau mana-mana akaun di institusi kewangan.
"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.