Guna van sekolah pindah minuman keras seludup

Iklan
Polis merampas sebuah lori dan van untuk siasatan kegiatan pemindahan minuman keras tidak bercukai di Klang.

KLANG - Helah seorang lelaki menggunakan van sekolah untuk memunggah minuman keras seludup di kawasan parkir di Taman Sri Gadong, di sini, terbongkar selepas ditahan polis pada Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, Op Kontraban itu dilaksanakan sepasukan Unit Risikan Marin PPM Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun sedang memindahkan minuman keras yang dipercayai tidak bercukai dari sebuah lori ke dalam van sekolah.

"Lelaki terbabit kemudian ditahan untuk siasatan.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut menemui 62 kotak dan 33 crack minuman keras di dalam lori terbabit, manakala enam lagi kotak minuman keras berada di dalam van sekolah berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, nilai rampasan minuman keras termasuk cukai ialah RM47,553.97 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Klang.

Iklan

Tambahnya, PPM turut merampas kedua-dua kenderaan terbabit.

"Suspek dan kesemua rampasan telah dibawa ke PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan termasuk mengenal pasti sumber minuman keras itu diperoleh," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 Akta Eksais 1976.