KUALA TERENGGANU – Tindakan pantas seorang nelayan tempatan berjaya menyelamatkan seorang kru kapal warga Filipina yang terjatuh ke laut dalam kejadian di perairan Terengganu pada Ahad.
Mangsa, Santos Nielvin Aguas, 31, dilaporkan kali terakhir dilihat berada di atas kapal pada jam 4 pagi ketika kapal tersebut dalam pelayaran menuju ke Singapura.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kru Kapal MV Pacific Dawn melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pada jam 12.17 tengah hari.
"Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) segera diaktifkan pada jam 1.25 petang dengan menggerakkan bot peronda Maritim ke lokasi kejadian.
"Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh tekong bot nelayan tempatan, Abdul Rahman Amri, 27, kira-kira 40 batu nautika dari Jeti Marang,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Marang sebelum diserahkan semula kepada pihak kapal MV Pacific Dawn.
"Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada Abdul Rahman dan semua pihak yang terlibat dalam misi menyelamat tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pada awalnya beliau menyangka objek terapung yang dilihat adalah tukun hanyut.
"Saya terserempak dengan mangsa semasa dalam perjalanan keluar memancing. Waktu itu kami terdengar mangsa menjerit meminta tolong dan kelihatan sedang berenang untuk menyelamatkan diri.
"Selepas berjaya menaikkan mangsa ke atas bot, kami terus berpatah balik ke daratan untuk menghantarnya ke balai polis,” katanya.