KUALA LUMPUR - Sebanyak 789 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik dari Jumaat hingga 28 Mei ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan itu merangkumi 292 pegawai dan anggota daripada kontinjen Kuala Lumpur manakala 497 lagi daripada kontinjen lain di seluruh negara.
"Aset yang akan terlibat dalam penugasan ini termasuk 36 unit kereta peronda (MPV), 313 motosikal berkuasa tinggi dan 190 motosikal lain serta kembalik (lori tunda) yang akan digunakan untuk menunda kenderaan menghalang laluan.
"Berikutan tugasan ini turut membabitkan penutupan jalan bermula 23 Mei ini, orang ramai diminta mendapatkan maklumat terkini daripada media selain merancang perjalanan, menggunakan jalan alternatif dan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberikan amanat kepada warga JSPT yang akan bertugas ketika Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, pada 21 dan 22 Mei, raptai penugasan kawalan trafik akan dilaksanakan membabitkan elemen kawalan konvoi (motoked), kawalan laluan, kawalan lokasi dan penugasan lain.
"Raptai di lokasi sebenar ini akan memberikan makluman awal kepada pengguna jalan raya mengenai penutupan jalan yang akan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan menerusi Op Samseng Jalanan dan operasi lain juga akan diteruskan di sekitar ibu negara bagi memastikan pematuhan undang-undang trafik oleh pengguna jalan raya. - Bernama