SEOUL - Dua individu telah ditahan kerana didakwa memeras ugut bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung-min, dan mendakwa beliau telah menyebabkan kehamilan seorang wanita, kata pegawai pada Sabtu.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Mahkamah Daerah Pusat Seoul telah mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita berusia 20-an dan seorang lelaki berusia 40-an masing-masing disyaki melakukan pemerasan dan cubaan pemerasan.
Mahkamah menyatakan terdapat risiko kedua-dua suspek melarikan diri dan memusnahkan bukti.
Wanita terbabit didakwa mendekati kapten pasukan Tottenham Hotspur itu pada Jun tahun lepas, mendakwa dirinya hamil dengan anak Heung-min dan menuntut wang sebagai pertukaran untuk berdiam diri.
Dia dilaporkan menghantar gambar imbasan ultrabunyi seorang bayi kepada Heung-min dan menerima lebih 300 juta won (RM920,604).
Lelaki itu, yang dipercayai salah seorang kenalannya, turut didakwa mendekati Heung-min pada Mac lepas dan cuba memeras ugut 70 juta won (RM214,807) daripadanya.
Bagaimanapun, lelaki itu dilaporkan tidak menerima sebarang wang.
Heung-min telah membuat aduan kepada polis minggu lepas, mendakwa wanita itu memeras ugutnya dengan dakwaan palsu mengenai kehamilan.
Pihak polis sejak itu telah menyerbu kediaman kedua-dua individu terbabit, merampas telefon mereka, dan merancang untuk meneruskan siasatan termasuk mengesahkan ketulenan gambar ultrabunyi itu. - Bernama