JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di Batu 16, Sungai Tiram awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 6.20 pagi.
"Kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha NVX ditunggang mangsa, seorang wanita tempatan dan sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun.
"Siasatan awal mendapati lori tersebut dalam perjalanan dari arah Ulu Tiram ke Pekan Tiram, manakala motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Sohaimi, pemandu lori tidak sempat membrek menyebabkan pelanggaran berlaku dan mangsa tercampak serta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori didapati negatif daripada pengaruh dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai dan berbahaya.