'Hari ini cikgu jadi murid'

Iklan
Sebahagian guru wanita bergambar semasa mengenakan pakaian seragam sempena Hari Guru di SK Seri Gambut, Tanjong Karang pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gambut, Tanjong Karang di sini mencipta kejutan apabila guru mengenakan uniform sekolah.

Kesemua guru tampil mengenakan pelbagai uniform sekolah termasuk baju pengawas sekolah rendah dan menengah dan pakaian seragam tabika sekali gus mencetuskan suasana penuh nostalgia dan menghiburkan.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Gambut, Mohd Faeez Abu Bakar berkata, sambutan Hari Guru tahun ini mencipta kelainan apabila guru berfesyen demi menceriakan sambutan istimewa tersebut.

"Idea tercetus hasil perbincangan antara Jawatankuasa PIBG yang mahu membawa kelainan sambil mengimbau kenangan zaman persekolahan.

Iklan

"Kami nak raikan Hari Guru bukan hanya dengan acara biasa, tetapi dengan sesuatu yang boleh mencipta memori kekal untuk murid dan guru,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Guru SK Seri Gambut, Tanjong Karang mengenakan uniform sekolah sempena Hari Guru pada Jumaat.

Ujar beliau, kelainan yang ditonjolkan pada sambutan tahun ini mengujakan bukan sahaja murid, malah seluruh warga sekolah yang terhibur dengan pendekatan unik tersebut.

Iklan

Jelas beliau, tema kali ini dipilih sebagai cara simbolik untuk guru-guru ‘kembali menjadi murid’ sebagai tanda keinsafan dan penghargaan terhadap perjalanan ilmu yang dilalui.

"Kami mengambil inisiatif ini untuk menunjukkan setiap guru juga pernah menjadi murid dan mereka juga tidak pernah berhenti belajar.

"Sempena Hari Guru ini, kami mahu guru turun padang bukan sekadar mengajar, tapi juga mengingati asal-usul sebagai murid,” jelasnya.

Ujar beliau, suasana bertambah gamat apabila guru turut menyertai aktiviti sukaneka antaranya baling selipar, roket kertas, tangkap tangan dan menyepak bola sambil menutup mata.

"Kami ingin membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar tentang buku dan peperiksaan, tetapi juga tentang kasih sayang, kreativiti serta hubungan mesra antara guru dan murid," ujar beliau.