SEREMBAN – Ibu kepada pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan tiga remaja pada Mac lalu akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan membenarkan anaknya yang masih di bawah umur memandu kenderaan.
Peguam Johan Radzi yang mewakili Orang Kena Saman (OKS), Nur Farahidayah A. Rahman, 40, memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Majistret pada Jumaat semasa prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, P. Rubini menyatakan bahawa pihak pendakwaan bersedia menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik kenderaan jenis Honda Jazz didakwa membenarkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun memandu kenderaannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, di sini pada 6 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memaklumkan status representasi.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah Honda Jazz yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.
Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.