Dasar perlindungan ancam sistem dagangan global - Anwar
Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri sempena lawatan rasmi empat hari ke Rusia, pada Rabu. Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran tindakan unilateral dan peningkatan dasar perlindungan oleh negara-negara kuasa besar ekonomi adalah bertentangan dengan asas perdagangan bebas selain mengancam keseluruhan sistem perdagangan global, khususnya negara kecil sedang membangun.
"Dapatkah anda bayangkan bagaimana pada 2025, meskipun dengan kewujudan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan aturan perdagangan pelbagai hala, kita (sebaliknya) berdepan dengan peningkatan dasar perlindungan, pengenaan tarif serta sekatan unilateral?,” kata beliau ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk"ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), hari ini.
Iklan
Iklan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan sedemikian akan hanya cenderung kepada penyahgandingan ekonomi yang mengancam keseluruhan sistem yang kelihatan telah dipersetujui dunia.
Keadaan itu, tegas Perdana Menteri, akan hanya menjejaskan negara-negara perdagangan seperti Malaysia serta negara-negara lain di ASEAN.
Iklan
Beliau berkata, Malaysia misalnya, merupakan hab global terkemuka bagi industri semikonduktor dan pengeluaran cip di rantau itu.
Anwar berkata, ketika Malaysia bergerak ke arah usaha reka bentuk dan pembungkusan maju,"secara tiba-tiba kita diancam dengan perkara (dasar perlindungan) ini.
Iklan
"Kita sedang berada dalam ketidaktentuan geopolitik (dan) yang memberi impak dan bukan setakat melibatkan isu keselamatan.”
Sehubungan itu, Anwar berkata, adalah penting untuk terus memperjuangkan perdagangan bebas selain meningkatkan kerjasama ekonomi.
"Tempoh masa dasar perlindungan ini harus berakhir. Ini mesti dihentikan dan sebaliknya perlu berasaskan aturan dunia yang berpandukan undang-undang.
"Oleh itu, saya mewakili rakan-rakan di ASEAN dalam menyuarakan isu ini (dan) atas alasan itu kita menyokong Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
"Malah, kini (kita mendapat) sokongan Rusia, negara yang mencadangkan penyertaan Malaysia sebagai negara rakan dalam (blok) BRICS. Presiden (Vladimir) Putin yang mengetengahkan cadangan penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tahun lepas dan mendapat sokongan China, India dan Ethiopia,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia juga berhasrat mengembangkan perdagangan dan pelaburan dengan rakan tradisional seperti Amerika Syarikat yang kekal sebagai pelabur terbesar di negara ini.
Pada masa sama, Malaysia juga berharap untuk membuka pasaran perdagangan dan pelaburan baharu, kata Perdana Menteri. - Bernama
Semua ahli Parlimen termasuk Menteri Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk menyatakan pendirian secara terbuka mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal didakwa membabitkan ‘mafia korporat’ yang turut dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Gesaan itu dibuat lima Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen (Subang), Hassan Karim (Pasir Gudang), S Kesavan (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang) dan Lee Chean Chung (Petaling) Jaya dalam satu sidang akhbar bersama di Parlimen, Kuala Lumpur pada Rabu.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/785942/berita/nasional/rci-skandal-mafia-korporat-lima-ahli-parlimen-pkr-tuntut-pm-menteri-nyata-pendirian
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.