SHAH ALAM – Malaysia perlu segera dan tegas dalam memberikan tindak balas terhadap hasil siasatan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Timbalan Pengerusi Pemuda Kebangsaan MCA, Mike Chong berkata, pihaknya mengambil maklum pengakuan kerajaan terhadap dapatan siasatan tersebut serta jaminan bahawa tindakan akan diambil secara bersepadu oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya berlengah atau bersikap berlembut dalam merangka sebarang langkah susulan terhadap laporan berkenaan.
"Ini adalah detik penentu bagi Malaysia. Tindak balas kita mestilah pantas, jelas dan berasaskan tanggungjawab moral untuk menegakkan keadilan antarabangsa.
"Sebarang kelewatan bukan sahaja mengkhianati ingatan terhadap mereka yang terkorban, malah berisiko mencemarkan kedudukan Malaysia di peringkat global sebagai sebuah negara yang menjunjung hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan bahawa ICAO memutuskan Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warganegara Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia, pada tahun 2014.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia pada Isnin lalu, yang menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah keadilan dan kebertanggungjawaban terhadap mangsa serta keluarga mereka.
Mike turut berpandangan bahawa Malaysia perlu berdiri teguh bersama negara-negara lain seperti Belanda dan Australia dalam menuntut ketelusan, pampasan dan keadilan sewajarnya bagi keluarga mangsa.
"Ini bukan sekadar isu geopolitik atau diplomasi. Ini soal menghormati mereka yang telah terkorban dan memastikan tragedi seumpama ini tidak dilupakan tanpa keadilan ditegakkan,” katanya.