MATTA Fair Pulau Pinang 2025 perkenal Domestic Section

Iklan
MATTA Fair Pulau Pinang 2025 akan diadakan pada 24 Mei ini selama dua hari.

GEORGE TOWN – Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Pulau Pinang 2025 bakal mencipta kelainan apabila buat julung kalinya memperkenalkan seksyen khas baharu iaitu Domestic Section yang menampilkan pelbagai produk dan pakej pelancongan tempatan terbaik dari seluruh negara.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, langkah tersebut membuktikan komitmen penganjur dalam memperkukuh industri pelancongan domestik.

Iklan
Iklan

"Sebanyak dua pertiga ruang Concourse akan diperuntukkan bagi Domestic Section ini yang akan menampilkan pelbagai tarikan termasuk pengembaraan eko di Sarawak, pengalaman kulinari di Johor, percutian keluarga di Terengganu serta lawatan warisan di Pulau Pinang.

"Inilah peluang untuk rakyat melihat sendiri kekayaan dan keunikan yang ditawarkan dalam negara kita,” katanya dalam sidang akhbar sempena MATTA Fair Pulau Pinang 2025 di sini, pada Khamis.

Iklan

"Malaysia Aviation Group (MAG) yang merangkumi Malaysia Airlines, Firefly dan Amal akan terus memainkan peranan penting dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai pintu masuk kedua utama negara.

"MATTA Fair Pulau Pinang 2025 bukan sekadar pameran pelancongan, malah ia adalah perayaan pengalaman – tempat di mana impian bermula dan destinasi ditemui,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Presiden MATTA, Nigel Wong, berkata pihaknya menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM78 juta dengan jangkaan kehadiran seramai 45,000 pengunjung bagi edisi tahun ini.

Hon Wai (tengah) dan Nigel Wong (kiri) mengadakan sidang media berkenaan MATTA Fair Pulau Pinang 2025 pada Khamis.

"Tahun lalu, kita berjaya mencatat jualan RM35 juta dengan kehadiran 40,000 pengunjung. Selain lebih 270 ruang pameran, kami juga menyediakan hadiah menarik melalui cabutan bertuah harian serta hadiah utama.

"MATTA Fair Pulau Pinang 2025 akan berlangsung di Aras 3, Concourse, Spice Arena selama dua hari bermula 24 Mei ini.

"Kali ini, tumpuan utama adalah kepada sektor pelancongan domestik sebagai langkah menggalakkan rakyat Malaysia dan pelancong asing meneroka keindahan destinasi tempatan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa laluan pergerakan pengunjung akan disusun secara sehala bermula dari Pintu Masuk Utama di Aras 3 bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pameran.