Kenderaan pacuan empat roda terjatuh ke sungai Sarawak

Iklan
Anggota Bomba dan Penyelamat bersama polis melakukan operasi mencari sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terhumban ke dalam Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Tun Salahuddin, Kuching, pada Khamis. Foto Bernama

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Seorang warga emas ditemukan lemas pagi ini, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Tun Salahuddin di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata mayat lelaki yang berumur 62 tahun itu ditemukan oleh anggota penyelam bomba di dalam kenderaan tersebut di dasar sungai pada 10 pagi pada Khamis.

Beliau berkata hanya seorang sahaja mangsa yang ditemukan dalam kenderaan tersebut, dan kes masih dalam siasatan.

"Setakat ini pihak polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu dan diharapkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini," katanya kepada pemberita semasa ditemui di sekitar lokasi kejadian hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjatuh ke dalam Sungai Sarawak berdekatan jambatan tersebut pada kira-kira 10 malam tadi.

Menurut saksi kenderaan itu pada mulanya diletakkan di bawah jambatan berkenaan, sebelum bergerak dan jatuh ke dalam sungai. - Bernama

Iklan
Iklan