PELAKON dan pengarah terkenal, Farid Kamil bersedia untuk mengekalkan hubungan profesional dengan bekas isterinya yang juga aktres serta penyanyi, Diana Danielle.
Jelas Farid, sebelum penceraian kali kedua, mereka berdua sempat bergandingan dalam filem Baran dan karya tersebut masih belum ditayangkan.
"Saya rasa tidak ada masalah untuk bekerjasama kerana kami profesional.
"Saya okey, sebab kami ini rakan artis. Cuma selepas ini, saya tidak tahu macam mana promosi filem itu akan berlangsung,” jelasnya.
Tambah Farid, apa yang menjadi keutamaan mereka kini adalah untuk membesarkan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10 tahun.
"Kali terakhir saya jumpa dia ketika prosiding di mahkamah. Kami berkomunikasi menerusi anak-anak."Cuma apa yang kami titik beratkan adalah pembesaran anak-anak kerana mereka masih memerlukan kasih sayang ibu dan bapa,” jelasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan konflik rumah tangga antara Farid dan Diana akhirnya menemui titik noktah selepas kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bercerai secara baik. Proses lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada 24 Mac lalu Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamaruddin.
Sebelum ini, Farid dan Diana berdepan masalah rumah tangga dan mereka bercerai kali pertama melalui Google Meet pada 10 Ogos 2023. Bagaimanapun, mereka sepakat rujuk ketika di dalam tempoh iddah.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup 13 tahun itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata.