KOTA BHARU - Seorang wanita maut manakala lima yang lain cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Ketereh–Kota Bharu di sini pada Rabu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu meragut nyawa, Syasya Nadiah Mohd Sabri @ Ismail, 27.
Iklan
Iklan
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Azhar Mohamed berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dan sebuah Proton Exora yang dinaiki enam mangsa bersaudara.
"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita dewasa dari Proton Exora disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Dua lagi wanita dari kenderaan sama, iaitu seorang warga emas berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun, cedera parah serta berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiga lagi mangsa iaitu pemandu Honda City, pemandu lelaki Proton Exora berusia 41 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun yang juga penumpang Proton Exora mengalami kecederaan ringan.
Operasi menyelamat dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong bersama pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Ketereh yang melibatkan sembilan anggota dengan kekuatan dua jentera.