AS layak diberi kredit bantu redakan konflik India-Pakistan - Pesuruhjaya Tinggi Pakistan

Iklan
Syed Ahsan Raza Shah (tengah) ketika temu bual tertutup bersama organisasi media terpilih di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Pakistan menyifatkan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam meredakan konflik pertempuran antara India dan Pakistan sebagai tindakan yang wajar dipuji.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, negara itu berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Presiden AS, Donald Trump dan Setiausaha Kerajaannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, campur tangan AS pada waktu yang kritikal berjaya menghalang konflik daripada terus memuncak dan menyumbang kepada tercapainya gencatan senjata antara kedua-dua negara berkenaan.

"Saya rasa bantuan daripada Trump dan Setiausaha Kerajaan sangat positif. Mereka bertindak neutral dan benar-benar mahu menggunakan kuasa mereka untuk memastikan tidak berlaku peperangan agar keamanan terus terpelihara.

Iklan

"Kalau orang kata Trump cuba ambil kredit, saya rasa dia memang berhak menerima kredit tersebut,” katanya dalam temu bual tertutup bersama organisasi media terpilih di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Hadir sama, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Iklan

Sebelum ini, gencatan senjata antara India dan Pakistan dilaporkan masih bertahan selepas beberapa hari pertempuran sengit yang mengorbankan hampir 70 nyawa.

Perjanjian gencatan senjata ini dicapai selepas tekanan diplomatik yang kuat dari AS, dengan Trump menawarkan bantuan dalam menyelesaikan pertikaian lama antara kedua-dua negara berhubung wilayah Kashmir.

Susulan itu, India membuka semula 32 lapangan terbang pada Isnin berikutan perjanjian gencatan senjata hujung minggu lalu yang menamatkan pertempuran paling buruk dengan Pakistan sejak tahun 1999.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan peperangan sebelum berlakunya gencatan senjata, Syed Ahsan berkata, ketegangan ketika itu berada pada tahap yang sangat tinggi apabila India bertindak menyerang beberapa kawasan di pesisir Pakistan.

Katanya, Pakistan kemudian memberikan tindak balas ketenteraan yang berkesan sehingga menyebabkan pihak India mengambil tindakan untuk bersetuju dengan gencatan senjata.

"Pada waktu itu, jika tiada campur tangan pihak ketiga, saya percaya keadaan mungkin jadi lebih buruk.

"Apabila AS masuk campur, Pakistan berada dalam kedudukan yang lebih kuat selepas berjaya melancarkan serangan balas. Mungkin itu juga sebab mengapa pihak India bersetuju untuk menghentikan serangan dan bersetuju dengan gencatan senjata,” ujarnya.