Pakistan yakin bom nuklear tidak akan digunakan

Iklan
Syed Ahsan

KUALA LUMPUR - Pakistan yakin senjata nuklear yang dimiliki negara itu tidak akan digunakan dalam mana-mana konflik peperangan, termasuk dengan India.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, senjata nuklear merupakan alat pertahanan dan hanya akan digunakan sebagai pilihan terakhir sekiranya keselamatan negara benar-benar terancam.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya, senjata nuklear bukan untuk digunakan pada peluang pertama. Ia adalah senjata pertahanan yang kita miliki sebagai jaminan terakhir dan kita berharap ia tidak akan digunakan langsung.

"Ia juga merupakan alat yang menjamin keamanan kerana dalam hubungan antarabangsa, keamanan dapat dikawal apabila wujud keseimbangan kuasa.

Iklan

"Saya benar-benar yakin dan berharap bahawa senjata nuklear tidak akan digunakan,” katanya dalam temu bual tertutup bersama organisasi media terpilih di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Hadir sama, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Iklan

Sebelum ini, gencatan senjata antara India dan Pakistan dilaporkan masih bertahan selepas beberapa hari pertempuran sengit yang mengorbankan hampir 70 nyawa.

Perjanjian gencatan senjata ini dicapai selepas tekanan diplomatik yang kuat dari Amerika Syarikat (AS), dengan Presiden Donald Trump menawarkan bantuan dalam menyelesaikan pertikaian lama antara kedua-dua negara berhubung wilayah Kashmir.

Susulan itu, India membuka semula 32 lapangan terbang pada Isnin berikutan perjanjian gencatan senjata hujung minggu lalu yang menamatkan pertempuran paling buruk dengan Pakistan sejak tahun 1999.

Dalam pada itu, Syed Ahsan menjelaskan bahawa ketidakseimbangan kuasa antara negara sering menyebabkan negara kuat menindas negara yang lemah.

Katanya, keseimbangan kuasa mengekang sebarang bentuk pencerobohan dan konflik terbuka, sekali gus menjamin kestabilan serantau.

"Mungkin tidak semua hubungan antarabangsa menggambarkan situasi sebenar, tetapi dari sudut realiti, kewujudan pilihan senjata nuklear seperti yang dimiliki Pakistan.

"Tetapi, ingin saya tegaskan di sini, memiliki senjata nuklear bukanlah satu pilihan untuk menggunakannya.

"Saya percaya dan amat berharap bahawa senjata nuklear tidak akan digunakan oleh mana-mana pihak di dunia ini,” ujarnya.