IPOH - Jasad Sarjan S Perumal, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Teluk Intan, pada Selasa selamat disemadikan di Krematorium Buntong di sini petang ini.
Terdahulu ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan mengunjungi rumah mendiang di Bandar Lahat Mines, Lahat bagi memberi penghormatan terakhir bermula 9 pagi tadi manakala upacara keagamaan dimulakan jam 2.30 petang.
Iklan
Iklan
Suasana pilu menyelubungi pekarangan krematorium itu apabila lebih 100 orang yang hadir tidak dapat menahan kesedihan sejurus jasad Perumal tiba kira-kira jam 5 petang.
Persemadian dijalankan mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kawalan kehormat oleh anggota PDRM sebelum ahli keluarga melakukan upacara sembahyang.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Asisten Superintenden Polis S Sivakumar daripada Unit Meriam Air, Unit 5 FRU, Sungai Senam, di sini yang kemudian menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada bapa mendiang, K Sugunanathan, 68.
Perumal, 44, antara sembilan anggota FRU yang maut selepas kenderaan pasukan itu terlibat kemalangan dengan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada jam 8.50 pagi semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam selepas tamat tugas.
Kemalangan terbabit turut mengakibatkan dua lagi anggota pasukan berkenaan parah manakala tujuh cedera. - Bernama