KUALA LANGAT – Seorang pekerja syarikat penghantaran maut selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Labuhan Dagang, dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Banting, pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berkaitan kemalangan pada jam 12.34 tengah hari.
"Susulan itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Semakan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, terdapat seorang lelaki tempatan yang merupakan penunggang motosikal berada di bawah lori terbabit.
"Anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.
"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.20 petang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.