Wanita maut di KESAS: Suami dibebaskan dengan jaminan polis

Iklan
Seorang wanita tercampak daripada sebuah van di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan yang ditahan berkaitan kes kematian isterinya yang berlaku di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar pada 6 Mei lalu, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, lelaki berusia 50 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadapnya tamat pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Kita telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak pendakwaan telah memberi beberapa arahan untuk dilengkapkan.

"Kertas siasatan akan diserah semula dalam kadar segera," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah pertengkaran mulut antara suspek dengan isterinya berkaitan penggunaan van.

Beliau berkata, wanita tersebut kemudian dipercayai terjatuh daripada kenderaan yang dinaiki pasangan itu sebelum suspek pulang ke rumah.

Iklan

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, suspek yang bekerja sebagai penghantar barang penghawa dingin mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.

Menurutnya, suspek ditahan di Taman Kinrara, Puchong, Selangor sekitar jam 6 petang, Selasa.

Pasangan itu telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.

Menurutnya lagi, saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.

Tambahnya, menurut suspek, mangsa juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.