KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menganjurkan Hari Suami Isteri alternatif kepada sambutan Hari Kekasih pada 31 Mei ini di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah bermula jam 8 pagi hingga 1.45 petang.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, seramai 500 pasangan dari seluruh Kelantan dijangka memeriahkan sambutan peringkat negeri itu.
Iklan
Iklan
"Penganjuran ini adalah sebagai satu alternatif kepada sambutan Hari Kekasih yang jelas bercanggah dengan nilai budaya timur dan ajaran Islam.
"Kita pernah anjurkan program tersebut pada tahun 2012. Untuk kali ini, kita kembali dengan pengisian yang lebih segar dan bermakna," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti istimewa dirangka bagi meraikan pasangan suami isteri dan memperkukuh institusi kekeluargaan berlandaskan prinsip Islam.
Ujarnya, bertemakan 'Bersama Hingga Ke Syurga' program ini diharap dapat menjadi platform penyubur kasih sayang, memperkukuh komunikasi dalam rumahtangga serta membawa mesej bahawa cinta halal perlu dipelihara, dihargai dan dirai dengan penuh keberkatan.
"Saya menyeru pasangan suami isteri untuk menyertai program ini dan menjadikannya sebagai simbolik penghargaan terhadap pasangan masing-masing," katanya.