KUANTAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar besi pengadang jalan dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Semangat di sini pada malam Selasa.
Mangsa, Shahroszaimi Ramli, 19, yang merupakan pekerja kedai makan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Bandar Kuantan.
"Siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong sebuah motosikal lain yang ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebelah kiri.
"Ketika itu motosikal terbabit sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum berlaku pelanggaran dari arah belakang menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, bagaimanapun penunggang motosikal yang berumur 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.