SHAH ALAM - Malaysia boleh mempertimbangkan beberapa bentuk pampasan merangkumi kepentingan nasional dalam pelbagai aspek dari Rusia susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh.
Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Azrul Azlan Abdul Rahman berkata, saranan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) agar Rusia memulakan rundingan pampasan dengan negara-negara terlibat membuka ruang signifikan kepada Malaysia untuk bertindak secara lebih tegas demi keadilan kepada mangsa dan waris mereka.