Nahas FRU: 6 jenazah selesai bedah siasat, 7 keranda menanti

Iklan
Persiapan dilakukan di Surau Ar-Rahman IPD Hilir Perak sementara menunggu jenazah tiba dari Hospital Teluk Intan pada Selasa.

TELUK INTAN – Enam daripada sembilan jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah selesai menjalani proses bedah siasat setakat jam 9 malam pada Selasa.

Proses bedah siasat di Hospital Teluk Intan yang bermula jam 2.30 petang itu melibatkan tiga doktor pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Iklan
Iklan

Sebaik proses selesai, semua jenazah akan dimandikan dan dikafankan di hospital sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Tujuh anggota yang beragama Islam akan disembahyangkan di Surau Ar-Rahman, IPD Hilir Perak.

Iklan

Sementara itu, di surau tersebut, sebanyak tujuh keranda disediakan sebelum ketibaan jenazah anggota beragama Islam.

Selepas itu, solat jenazah ke atas semua anggota akan dilaksanakan sebelum dibawa serentak ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.

Iklan

Jenazah selepas itu akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing, iaitu di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulim; Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang dan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh serta Kampung Sungai Itik dekat Gopeng.

Tiga lagi akan dikebumikan di Kampung Pantai Besar dekat Batu Kurau; Masjid Simpang, Taiping; dan Kampung Parit Teluk Pial, Kuala Kurau.

Sementara itu, jasad mendiang Sarjan S. Perumal akan dibawa ke Krematorium Buntong, manakala Koperal Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar.