KUALA PILAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas tidak sempat mengelak sebuah kereta rosak yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 21 Jalan Seremban–Kuala Pilah pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Asri Mohd Nor, 33, tercampak ke dalam parit berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Seremban ke Kuala Pilah berhenti di bahu jalan akibat kerosakan enjin.
"Lelaki berkenaan berhenti selama kira-kira 10 minit akibat masalah enjin sebelum motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah belakang melanggar bahagian sisi kiri kenderaan tersebut.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan media.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.