KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan Polis Kontinjen Perak berkaitan kes kemalangan maut melibatkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pada Selasa.
Razarudin berkata, siasatan perlu dilakukan secara adil, telus berlandaskan undang-undang.
"Kita jamin kebajikan semua anggota yang terkesan dengan insiden ini diberi bantuan sebaiknya,” katanya dihubungi pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Selasa, nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu kerikil dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata semua anggota FRU terbabit adalah dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh.