KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan kes hasutan yang dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Muhyiddin, 78, memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi lain.
Permohonan tersebut turut tidak dibantah oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar.
Semasa prosiding, Amer Hamzah berkata, sebelum ini Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan kes di bawah Akta Hasutan yang dijadualkan untuk perbicaraan di hadapan Hakim, Muhammad Jamil.
"Kami mohon agar permohonan tersebut didengar di hadapan hakim yang sama, jadi pengurusan kes di mahkamah ini pada 20 Mei dilapangkan,” kata peguam itu.
Pada 4 April lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Dalam prosiding pada 4 Februari pula, pihak pembelaan bagi bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon memaklumkan mahu mencabar kesahihan peruntukan tertentu kerana mendakwa wujud ‘kesukaran luar biasa’ yang timbul dalam akta berkenaan.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara jam 10.30 hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berkaitan dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding ini, Muhyiddin tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam.