TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meninggal dunia dalam nahas di KM15, Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, seorang anggota meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala lapan lagi maut di lokasi kejadian.
"Dua anggota masih menerima rawatan di Zon Merah, manakala tujuh anggota lagi di Zon Kuning.
"Pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan. Saringan awal mendapati dia negatif dadah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.
"Bedah siasat kesemua mangsa akan dijalankan pada jam 2.30 petang sebelum dibawa ke surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk disembahyangkan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat juga diminta tampil bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Difahamkan dalam kejadian pagi Selasa itu, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.