SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meneruskan komitmennya untuk memastikan persekitaran bandar raya yang bersih dan teratur melalui operasi bersepadu membanteras iklan dan kain rentang (banner) haram di sekitar kawasan pentadbirannya.
Dalam satu operasi oleh Bahagian Tindakan Khas (BTK) MBSJ, sebanyak sembilan iklan haram diturunkan di Jalan USJ 1/2A, USJ 1, Subang Jaya, manakala dua belas iklan dan kain rentang haram turut ditanggalkan di Jalan Putra Permai 1, Seri Kembangan.
Iklan
Iklan
Operasi ini dijalankan susulan aduan awam dan pemerhatian berkala yang mendapati peningkatan pemasangan iklan tanpa permit, yang bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, MBSJ menasihatkan orang awam serta pihak peniaga agar sentiasa merujuk kepada Jabatan Pelesenan MBSJ untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung permohonan permit pemasangan iklan.
MBSJ turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan berkaitan pemasangan bahan iklan.