PELAKON berbakat besar, Bront Palarae mencipta sejarah peribadi apabila merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 di Thailand.
Menerusi filem The Cursed Land, pemilik nama penuh Nasrul Suhaimin Saifuddin, 46, berjaya mencuri perhatian juri dengan lakonan bertenaga dan penuh emosi.
Menurut Bront, pengiktirafan tersebut adalah sesuatu yang tidak pernah disangka, apatah lagi berpeluang membintangi filem Thailand sudah lama menjadi impiannya.
"Berlakon dalam filem Thai terasa seperti satu mimpi yang jauh dan kini, menerima penghargaan ini memang di luar jangkaan.
"Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik daripada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 (Thailand)," kongsinya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Aktor itu turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi The Cursed Land atas kerja keras dan dedikasi mereka.
Tidak ketinggalan, Bront turut merakamkan penghargaan khas kepada Panu Aree dan Kong Rithdee atas jemputan, serta Penerbit Kreatif, Nonzee Nimibutr; Chankit (Sinematografer) dan Suraphi (Penolong Pengarah Pertama) atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang penggambaran.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan The Cursed Land dari lubuk hati saya. Kerja keras anda semua menjadikan pencapaian ini satu kenyataan.
"Berkongsi layar dengan pelakon-pelakon berbakat seperti Ananda Mathew Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon serta duo Melayu (Han Zalini & Firdaus Karim) merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan," ungkapnya lagi.
Kemenangan itu menyaksikan Bront menewaskan lima pencabar hebat termasuk Benjamin Varney dan Bhumipat Thavornsiri menerusi filem In Youth We Trust, Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis) serta dua pelakon filem pecah panggung How to Make Millions Before Grandma Dies, Sanya Kunakorn dan Pongsatorn Jongwilas.
Filem The Cursed Land turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Dalam pada itu, Bront turut meluahkan harapannya agar industri perfileman Thailand memberi lebih ruang kepada kisah-kisah komuniti Melayu di Selatan Thailand untuk diketengahkan.
"Saya berharap suatu hari nanti sinema Thailand akan lebih banyak mengangkat suara kecil dan sejarah kaya komuniti Melayu di selatan. Kisah-kisah ini layak untuk didengari dan diraikan," ujarnya penuh makna.
Terdahulu, Bront pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015.
Anugerah Baan Nang Klang Lakorn merupakan acara berprestij yang mengiktiraf karya televisyen serta penstriman cemerlang di Thailand sepanjang tahun.