INDIA - Dua remaja lelaki maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki akibat pertengkaran kecil mengenai siapa yang mendapat roti tanduri terlebih dahulu di sebuah majlis perkahwinan pada malam Ahad lalu di Uttar Pradesh.
Menurut The Times of India, insiden itu berlaku pada awal pagi selepas pertengkaran lisan tercetus antara dua remaja berusia 17 dan 18 tahun dengan sekumpulan lelaki di majlis berkenaan.
Mangsa, yang merupakan pelajar, hadir ke majlis tersebut dan sedang beratur di kaunter tanduri sekitar jam 11.45 malam, menunggu giliran untuk mendapatkan roti, sebelum beberapa lelaki lain menyertai barisan.
Bagaimanapun, pertengkaran lisan didakwa berlaku antara mangsa dan kumpulan tersebut.
Saksi memberitahu pihak polis bahawa pertengkaran itu menjadi semakin tegang, dengan kedua-dua pihak saling bertukar kata-kata kasar.
Kumpulan lelaki berkenaan dipercayai berasa tidak dihormati oleh mangsa, lalu meninggalkan majlis dalam keadaan marah.
Sekitar jam 1 pagi, kumpulan itu dilaporkan kembali dengan membawa senjata seperti batang besi dan kayu hoki. Mereka menaiki motosikal dan mengejar serta memukul kedua-dua remaja berkenaan dengan kejam.
Menurut News18, penduduk kampung kemudiannya menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, terbaring atas tanah. Motosikal yang dinaiki mereka turut dilaporkan hancur.
Ambulans segera dipanggil, namun malangnya kedua-duanya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Bercakap kepada wartawan, bapa salah seorang mangsa meluahkan kesedihan:"Semua ini hanya kerana beberapa keping roti?”
Beliau telah membuat laporan polis terhadap 13 individu, termasuk lapan yang telah dikenal pasti dan lima lagi yang masih belum dikenali.
Setakat ini, polis telah menahan tiga suspek dan sedang giat mengesan baki yang masih bebas.
Siasatan masih dijalankan.