SHAH ALAM - Tiga lelaki dipercayai tokan menjadi antara 43 individu diberkas dalam serbuan Ops Sarang di 'port' penagihan dadah sekitar Kajang dan Klang Selatan.
Polis Selangor menerusi kenyataan memaklumkan serbuan pada Khamis lalu itu dilakukan di dua sarang penagihan dadah di dua kawasan terbabit.
"Seramai 43 lelaki telah ditangkap dengan pelbagai kesalahan dadah, kesemua tangkapan berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
"Daripada jumlah itu, tiga individu ditahan dipercayai bertindak sebagai tokan atau pengedar dadah," katanya pada Ahad.
Katanya, modus operandi dikenal pasti dalam serbuan itu adalah penagih akan menunggu tokan datang ke 'port' terbabit untuk menjual dadah.
"Serbuan turut merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3.10 gram dan syabu seberat 0.49 gram, kedua-dua jenis dadah ini dianggarkan bernilai RM131.40.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua tangkapan positif dadah," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.
"Semakan mendapati lima suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berulang di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB dan boleh dituduh di bawah Seksyen 39C akta yang serupa.
"Ops Sarang yang dijalankan ini merupakan salah inisiatif membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan sarang pengedar dan sarang penagih dadah negeri ini," katanya.