GEORGE TOWN - Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dan Perak berjaya menumpaskan satu sindiket along yang dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen menerusi satu operasi khas yang dilancarkan serentak pada Sabtu.
Sindiket berkenaan turut disyaki terlibat dalam beberapa kejadian jenayah khianat simbah cat di premis perumahan sekitar negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil operasi itu membawa kepada penangkapan empat lelaki warga tempatan berusia antara 34 hingga 42 tahun dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang.
"Kesemua individu yang ditahan dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan khianat simbah cat berkaitan pinjaman wang tanpa lesen membabitkan sindiket along tempatan dan juga dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, polis turut merampas beberapa barang kes yang digunakan dalam kegiatan jenayah itu antaranya sebuah kereta jenis Toyota Vios, lima unit telefon bimbit, sekeping kad Touch 'n Go, tiga keping nota ugutan bayaran hutang serta dua gulung pita pelekat.
"Turut dirampas dua batang pen penanda (marker pen), satu set kertas saiz A4, dua keping nombor pendaftaran palsu kenderaan, satu helai topeng muka, satu unit topi dan satu helai baju sejuk.
"Selain itu, empat helai baju T, tiga helai seluar jeans, sebuah tin cat warna merah, satu tin 'thinner', satu bungkusan beg plastik serta satu bungkusan getah juga dirampas,” katanya.
Jelas beliau, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam 33 kes simbah cat yang berlaku di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
"Pemeriksaan ke atas telefon bimbit yang dirampas turut menemukan 33 alamat sasaran lokasi kejadian simbah cat yang dipercayai dilakukan oleh suspek di lokasi berasingan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Hamzah turut menasihatkan orang ramai agar segera membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima sebarang bentuk ugutan daripada individu atau sindiket along bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.