MARAN – Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata terhadap seorang mandur ladang di Felda Jengka 8 pada malam Jumaat lalu berjaya diberkas kurang 15 jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, suspek berusia antara 29 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di daerah Jerantut dan Bandar Jengka pada Sabtu.
Menurutnya, tangkapan pertama pada jam 12 tengah hari melibatkan dua suspek di sebuah rumah di Jerantut, manakala seorang lagi ditahan di Bandar Jengka pada jam 2.15 petang, hari yang sama.
"Semakan rekod ke atas suspek mendapati ketiga-tiga lelaki itu memiliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
"Susulan penahanan suspek, polis berjaya menemui semula kereta jenis Proton Saga milik mangsa yang dibawa lari sebelum ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit di tanah rancangan itu," katanya.
Kim Wai berkata, hasil siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan sejumlah barang kemas milik mangsa yang ditanam oleh suspek bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Turut dirampas ialah pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian, pistol paku yang digunakan untuk mengugut mangsa, wang tunai RM1,000, sebuah kereta jenis Perodua Kancil, dan beberapa kad bank," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang mandur ladang berusia 34 tahun kerugian kira-kira RM16,000 selepas menjadi mangsa tiga lelaki bertopeng yang memecah masuk rumahnya di Jengka 8, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, mangsa yang tinggal sendirian diacukan pisau sebelum tangan dan kaki diikat menggunakan tali dan tali pinggang.
Suspek melarikan beg pinggang mangsa yang mengandungi wang tunai RM1,000, kad bank, barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000, serta sebuah telefon bimbit.
Penjenayah turut melarikan kereta mangsa jenis Proton Saga FLX dengan anggaran kerugian keseluruhan kira-kira RM16,000.