Pemandu pacuan empat roda langgar suami isteri ditahan

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan pacuan empat roda rempuh motosikal dekat plaza tol.

KUALA LUMPUR - Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Jalan Duta pada Sabtu ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu kenderaan jenis Nissan Navara itu merupakan lelaki tempatan berumur 32 tahun.

Iklan
Iklan

"Individu terbabit sebelum itu telah hadir membuat laporan polis pada hari yang sama kira-kira jam 6.55 petang.

Beliau berkata, semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar, sebelum Plaza Tol Duta.

Iklan

"Kemalangan terbabit melibatkan sebuah motosikal jenis Benelli TRK 502 dan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara," katanya.

"Siasatan mendapati motosikal berkenaan sedang bergerak secara lurus di lorong kiri sebelum pacuan empat roda terbabit dipercayai cuba memotong motosikal yang dinaiki dua mangsa itu," katanya.

Iklan

Katanya, cubaan itu bagaimanapun gagal sebelum kenderaan pacuan empat roda melanggar motosikal terbabit dari arah kanan, mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal itu terjatuh.

"Penunggang merupakan lelaki berumur 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka di bahagian buku lali, manakala isterinya berumur 49 tahun mengalami pendarahan di kepala, patah buku lali dan tulang rusuk kanan.

"Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial paparan sebuah motosikal dilanggar pacuan empat roda sebelum kenderaan terbabit dilihat berlalu meninggalkan lokasi kejadian.