Remaja dibelasah beramai-ramai, 10 lelaki ditahan

Iklan
Keadaan remaja didakwa dipukul secara berkumpulan.

SEREMBAN - Polis menahan 10 lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Kampung Sentosa Jaya pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Kejadian itu tular di media sosial selepas mangsa seorang remaja berusia 17 mengalami cedera di bahagian muka akibat dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi berhampiran kedai makan dan gelanggang futsal.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek yang menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.

"Aduan dibuat bapa mangsa selepas anaknya telah dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.

Iklan

"Kesan kejadian itu mangsa mengalami cedera lebam di mata dan sakit seluruh badan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan pada masa sama menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi tidak benar.

Beliau turut memohon saksi awam yang melihat kejadian itu agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban untuk soal siasatan dan proses permohonan reman akan dilakukan," katanya.