UIAM ungguli Anugerah Emas MiSHA 2024

Iklan
Rektor UIAM (tengah) menerima Anugerah Emas MiSHA 2024 daripada Presiden MiSHA pada satu majlis khas di UIAM Gombak.

SHAH ALAM – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengukir kejayaan cemerlang apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Industri, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) 2024.

Pengiktirafan berprestij itu dianugerahkan sebagai penghormatan terhadap komitmen luar biasa UIAM dalam memperkasa aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di kampus.

Iklan
Iklan

Lebih membanggakan, UIAM menjadi satu-satunya universiti awam yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam penganugerahan tersebut, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengutamakan kesejahteraan warga kerja dan komuniti kampus.

Menurut Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) UIAM, Profesor Dr Mohamed Aslam Mohamed Haneef, kejayaan berkenaan adalah hasil sinergi menyeluruh semua pihak di universiti.

Iklan

"Tahniah kepada Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHBE) UIAM serta semua yang terlibat. Usaha mereka menjadikan UIAM sebagai tempat kerja yang selamat dan kondusif amat dihargai.

"Kita akan terus memperkukuhkan inisiatif OSH di semua kampus UIAM," katanya.

Iklan

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden MiSHA, Aziz Basiran kepada Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman dalam satu majlis yang berlangsung di kampus UIAM Gombak.

Sementara itu, Aziz berkata, pencapaian yang diraih oleh UIAM wajar dijadikan contoh kepada institusi lain dalam pelaksanaan amalan terbaik OSH.

"Kejayaan UIAM ini membuktikan komitmen tinggi universiti terhadap keselamatan dan kesihatan warga kampus.

"Ia adalah hasil usaha berterusan dan budaya kerja selamat yang dibina secara konsisten,” ujarnya.

Anugerah MiSHA 2024 memberi penghargaan kepada organisasi yang cemerlang dalam melaksanakan strategi OSH berlandaskan rangka kerja Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP), selaras dengan aspirasi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021–2025 yang digariskan kerajaan.