Kem Semarak Harapan Anak Bangsa bangun potensi anak YKM

Iklan
Ismail Sabri meluangkan masa bersama anak yatim dan yatim piatu kendalian YKM di kem Ladang Alam Warisan.

SHAH ALAM - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menghimpunkan 40 anak yatim dan yatim piatu kendaliannya dalam Kem Semarak Harapan Anak Bangsa bagi membangunkan potensi diri ke arah mencapai kecemerlangan.

Kem itu diadakan pada 9 Mei hingga 12 Mei 2025 bertempat di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti.

Iklan
Iklan

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif berterusan yayasan demi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah kalis cabaran pada masa depan.

Menurutnya, Kem Semarak Harapan Anak Bangsa ini dirangka khas untuk membangunkan kekuatan fizikal, mental, emosi dan sosial anak-anak YKM.

Iklan

"Ia berikutan trauma yang dialami mereka selepas kehilangan ahli keluarga tercinta akibat pandemik Covid-19.

"Keunikan kem ini terletak pada modul dan pengisiannya yang menggunakan elemen berkuda dan memanah sebagai alat pembelajaran, terapi serta pembangunan kendiri.

Iklan

"Selain itu, semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran seperti sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia juga dapat dipupuk," ujarnya.

Ismail Sabri menzahirkan harapan agar anak-anak YKM terus menimba ilmu dan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

"Pendidikan ialah aset penting yang dapat mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik," ulasnya.

Beliau turut meluangkan masa bersama anak-anak YKM di Kem Ladang Alam Warisan pada hari pertama, sewaktu aktiviti ‘ice breaking’ bagi mengenali dengan lebih rapat setiap anak yang menyertai kem tersebut.

Kem ini yang turut dikendalikan oleh pihak Ladang Alam Warisan akan menerapkan beberapa nilai penting dalam pengisian program, yang akan dipecahkan kepada lima fasa iaitu jati diri, kepemimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan keusahawanan.