JEMPOL – Seorang pelajar Kolej Vokasional Juasseh maut manakala adiknya parah selepas motosikal yang mereka tunggang terbabas sebelum melanggar pokok sawit di Felda Lui Timur dalam kejadian pada Jumaat.
Penunggang, Muhammad Hadzriq Mohamad Sani, 17, maut, manakala pembonceng, Muhammad Hudzayr Mohamad Sani, 15, mengalami kecederaan parah di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, dua beradik berkenaan dalam perjalanan pulang dari masjid menuju ke rumah mereka di Blok 10, Felda Lui Timur.
"Siasatan awal mendapati motosikal Honda C100 yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan dan melanggar sebatang pokok sawit.
"Akibat kemalangan itu, penunggang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, manakala adiknya kini dirawat di Hospital Jempol,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal bagi membantu siasatan.