ATLET Muay Thai profesional negara, Rifdean Masdor hanya memerlukan 47 saat untuk menumbangkan lawannya dalam pertarungan ONE Friday Fights 107 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Dalam aksi kategori atomweight, Rifdean mencatat kemenangan menerusi technical knockout (TKO) ke atas petarung tempatan, Nongbia LaoLaneXang.
Iklan
Iklan
Kemenangan tersebut merupakan yang ketiga daripada empat penampilan Rifdean di pentas ONE Championship, sekali gus menegaskan kehadirannya sebagai antara petarung muda paling menyerlah di peringkat antarabangsa.
Pada Januari lalu, Rifdean tewas menerusi keputusan sebulat suara juri kepada Petninmungkorn NamkangIceland.
Sebelum itu, beliau turut merangkul gelaran Juara Remaja Dunia 2019 di Turkiye serta memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina pada tahun yang sama.
Rifdean juga merupakan juara Sukan Malaysia (Sukma) bagi edisi 2018 dan 2022.
Sebagai rekod, Rifdean memulakan langkahnya dalam ONE Championship dengan penuh bergaya apabila menewaskan Pichai Lookbanmai dari Thailand dalam masa 78 saat menerusi TKO pada ONE Friday Fights 56 yang berlangsung pada Mac 2024.