IPOH - Polis giat mengesan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di pasar raya dekat Falim, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 petang itu, ketiga-tiga suspek yang bertopeng memasuki premis terbabit sebelum melarikan sejumlah barang kemas bernilai lebih RM390,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati suspek telah melarikan barangan kemas seperti rantai leher dan subang.
"Suspek juga bersenjata menyerupai sepucuk pistol dan sebilah parang ketika melakukan rompakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Abang Zainal Abidin, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Camry berwarna putih.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Polis komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Menurut laporan Sinar Harian, semasa kejadian, seorang saksi terdengar jeritan sebelum melihat dua suspek, dengan seorang daripadanya bertubuh besar dan memakai penutup muka penuh, keluar dari kedai emas tersebut.
Kejadian itu menimbulkan suasana panik dalam kalangan pengunjung pasar raya yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.