AMPANG JAYA - Seorang jurulatih gimnasium ditahan Selasa lalu selepas mengugut untuk menyimbah asid terhadap seorang wanita yang didakwanya bersikap sombong dalam kejadian di sebuah gim kesihatan di Taman Melawati, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku pada 22 April lalu kira-kira jam 2 petang ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 31 tahun, berada di premis berkenaan.
"Suspek yang juga jurulatih di gim tersebut telah datang menegur dan berbual dengan mangsa, namun kemudiannya mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan supaya mangsa tidak bersikap sombong jika tidak mahu disimbah asid.
"Mangsa yang berasa takut dan terancam segera tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan lelaki berusia 42 tahun itu pada 6 Mei lalu kira-kira jam 3.33 petang.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif tiga jenis dadah iaitu Amphetamine (AMP), Methamphetamine (METH) dan Tetrahydrocannabinol (THC).
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Menurut beliau, permohonan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama tiga hari bermula 7 Mei hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Kes kemudiannya dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan pertuduhan dibuat ke atas suspek di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pada 8 Mei lalu,” katanya.
Mohd Azam berkata, suspek mengaku bersalah dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM300 oleh seorang penjamin, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Julai ini.